Video Klip: The Chosen One - Maher Zain

Thursday, September 2, 2010

Bicara Lambang Peribadi

Kebolehan berkata-kata adalah anugerah Allah. Kata-kata yang terluah membentuk bicara. Bicara ditutur untuk berhubung sesama manusia. Memberitahu apa yang tersurat mahupun tersirat. Pernahkah kita terfikir? Bagaimanakah bicara yang kita sampaikan. Setajam mana bicara dilemparkan? Siapakah yang terguris, siapa yang menangis, siapa yang berdendam.. Wajarkah semua itu?

Bicara adalah lambang peribadi.
Bicara cermin diri.
Bicara menyerlahkan akal dan budi.

Peribadi mulia melontarkan bicara yang baik, bersih dan bijaksana.
Peribadi bahagia melontarkan bicara yang indah lagi mendamaikan jiwa.
Peribadi berani melemparkan bicara yang tegas yang boleh menyanggah bicara.
Peribadi takut sentiasa berselindung, mengelak dan menukar bicara.
Peribadi damai melafazkan bicara penuh ketenangan.
Peribadi amarah jiwanya bergelora, bicaranya penuh dendam dan prasangka.
Peribadi lawamah lontaran bicaranya dalam ketidakpastian antara dua jalan.
Peribadi mutmainah bicaranya murni bagaikan penghuni syurga.

Marilah bermuhasabah diri, yang mana satu bicara kita?

Wednesday, September 1, 2010

Kebaikan yang Kekal


Sepanjang hidup kita, pasti kita semua biasa membuat pelbagai kebaikan. Apabila kebaikan demi kebaikan dicurahkan, maka letih, penat dan lelah pun datang dan akhirnya kita akan berhenti dari membuat kebaikan tersebut. Saya ingin mengambil mutiara kata dari Saidina Ali r.a. berkenaan dengan perkara ini. Mudah-mudahan mutiara kata ini dapat kita sematkan di dalam diri agar kita sentiasa beristiqamah dalam membuat kebaikan.

Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal; Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal - Saidina Ali r.a.

Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kami kekuatan dalam membuat kebaikan dibumi Mu ini, ya Allah. Peliharakanlah hati kami dari  rasa ujub dan takabbur. Anugerahkanlah kami keikhlasan dalam setiap amalan kami. Terbitkanlah dari dalam diri kami rasa cinta yang abadi kepadaMu Ya Allah, Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang.

Monday, August 30, 2010

Doa Pagi - Hijjaz

Pada hari-hari bekerja, biasanya saya akan memulakan perjalanan dari rumah pada pukul 6.30 pagi. Setelah menghantar isteri ke LRT atau ke tempat kerja (ikut kepada keadaan trafik pada masa itu), saya akan meneruskan perjalanan hingga sampai di tempat kerja saya di Cyberjaya. Selalunya paling awal pun saya dapat sampai adalah dalam pukul 8.30 pagi. Sepanjang 2 jam lebih masa perjalanan saya itu pelbagai saluran radio menjadi peneman untuk membuka minda dipagi hari selain menjadi ubat penghalang mengantuk semasa memandu. Saluran IKIM, ERA, SINAR, RADIO24 atau HOTFM menjadi pilihan saya kerana kandungan beritanya, motivasi paginya, ilmunya ataupun kerana celoteh penyampai radionya.

Saya teringat satu zikir yang selalu berkumandang di radio IKIM ketika saya sedang memandu. Zikir itu ialah Zikir Bismikallah (zikir pagi) yang disampaikan oleh Kumpulan Hijjaz. Hati saya tersentuh mendengar zikir itu ditambah pula dengan kelunakan suara Munif Ahmad mendendangkannya. Kadangkala suaranya mendendangkan zikir itu terngiang-ngiang semasa saya bekerja di pejabat.

Ada baiknya jika saya kongsikan zikir tersebut dengan maknanya sekali agar dapat kita sama-sama menghayatinya serta mengamalkannya, InsyaAllah. Semoga kita sentiasa diberi petunjuk dan hidayahNya.


باسمك اللهم ندعو
في غدو ورواح
لك منا كل حمد
في مساء وصباح

هب لنا منك رشدا
واهدنا سبل الصلاح
إن تقوى الله نور 
وطريق للفلاح


bismikallah humma nada 'u.
fi rghudu wiwwarowa..
laka minna kullu hammin..
fi masa iwwa sobah..

hablana minka rashada..
wahdina sublasolah..
inna taqwallah hi nurun wa thariqul lil falah...

Maksudnya:
Dengan Nama-Mu Ya Allah kami meminta
Pada waktu pagi dan petang
Bagi-Mu segala pujian
Pada waktu petang dan pagi

Kurniakan kepada kami dari sisi-Mu petunjuk
Tunjukkan kami jalan kebaikan
Sesungguhnya ketaqwaan kepada Allah adalah cahaya
dan jalan kejayaan.


Thursday, August 26, 2010

Syukuri Nikmat Allah

Sebenarnya,
Sungguh banyak kemudahan dalam hidup ini
Sungguh banyak nikmat yang kurasa
Tak terhingga kasih sayang yang dilimpahkan
Sememangnya telah banyak yang ku terima

Sebenarnya,
Semua kemudahan itu
Semua kenikmatan itu
Kesemua kasih sayang itu
Adalah dari-Nya
Namun ku selalu menganggap yang ianya adalah perkara biasa
Yang akan diberi pada setiap insan
Sehingga ku lupa untuk mengucapkan kata syukur

Pabila kesulitan mendatang
Pabila kesusahan menjelma
Pabila keperitan menghimpit
Diri ini tak lupa pula untuk mengeluh
Tak sunyi pula dari rungutan

Ya Allah,
Ampunilah hambamu ini
Yang tak pernah puas akan segala nikmat yang diberikan
Yang tak kering dengan rungutan walaupun kenikmatan-Mu tidak pernah putus

Ya Allah,
Tiada nikmat-Mu yang mampu ku dustakan

Surah Ar-Rahman
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan"

Wednesday, August 25, 2010

Doa

Telah beberapa kali saya mengikuti majlis zikir di Maahad Raudatul Ulum Ulu Rening, Batang Kali, Selangor. Saya amat terkesan, sedar dan insaf mendengar setiap bait-bait ayat dalam doa yang dibaca oleh Ustaz Rizam Ghazali pada penutup majlis itu. Berikut adalah bait-bait doa tersebut yang saya rujuk dari laman web Maahad Raudatul Ulum untuk dikongsikan bersama.


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Haiyyul Ya Qaiyyum, Ya Rabbal 'Alamin...
Ya Allah, yang melaksanakan segala hajat...
Ya Allah, yang menerima segala permintaan.. ..

Lemah kami, kuatkanlah
Lalai kami, ingatkanlah
Jahil kami, pandaikanlah
Kotor hati kami, bersihkanlah
Gelap hati kami, terangkanlah
Keras hati kami, lembutkanlah
'Ujub riya' kami, ikhlaskanlah
Takabbur zalim kami, tawadhu'kanlah
Salah kami, maafkanlah
Dosa kami, ampunkanlah
Kejahatan kami, taubatkanlah
Susah kami, angkatkanlah
Sempit kami, lapangkanlah
Sakit kami, sembuhkanlah
Uzur kami, sihatkanlah
Segala urusan kami, permudahkanlah
Segala masalah kami, selesaikanlah.

Kami tiada kaya, hanya Engkau yang maha kaya
Kami tiada kuat, hanya Engkau yang maha kuasa
Kami tiada pandai, hanya Engkau yang maha bijaksana
Kami adalah hambaMu yang lemah
Kami adalah hambaMu yang terlalu banyak salah

Jadikanlah kami hambaMu yang taat
Jadikanlah kami hambaMU yang solih
Jadikanlah kami hambaMU yang taqwa
Jadikanlah kami hambaMU yang bertaubat
Jadikanlah kami hambaMU yang rajin beribadah

Peliharakan kami dari syirik
Peliharakan kami dari murtad
Peliharakan kami dari mengikut kafir
Peliharakan kami dari dosa maksiat
Peliharakan kami dari dunia hingga akhirat

Amin..Amin.. .Ya Rabbal 'Alamin.....

Selamat Datang

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terlebih dahulu ingin saya ucapkan selamat datang kepada pengunjung-pengunjung blog ini.  Blog ini baru dibina atas tujuan untuk berkongsikan rasa dan pemikiran disepanjang kita melalui perjalan hidup yang penuh liku ini. Saya sedar yang diri saya ini kerdil lagi hina dan diharap segala rasa atau pandangan yang salah, cetek atau jahil ini dapat ditegur dan diperbetulkan oleh pengunjung-penngunjung blog ini. Diharap blog ini dapat mencapai matlamatnya agar ianya menjadi platform untuk kita berhenti seketika dan berfikir sejenak untuk bermuhasabah diri, menginsafi diri dan bertaubat sebelum kita meneruskan perjalanan di bumi Allah ini. Terima kasih.